Ep 03 - Senyum Dalam Duka

Sepatutnya entri kali ini akan berkisar tentang Jordan, tapi kenapa tidak?

Allah ... ~

Tuhan menguji saya & keluarga. Abah di timpa ujian sakit. Yang ralatnya bagi saya, apabila, ini adalah kali pertama. Kali pertama Abah sakit sehingga masuk ke wad kecemasan.

Mata yang melihat tidak merasai beban yang di pikul bahu.

Subuh 21 Disember 2011, berdering-dering telefon, di iringi deringan jam loceng telefon mudah alih yang telah di setkan sebelum tidur.

Terbangun saya, lantas melihat panggilan tidak berangkat, lebih dari 7 kali. Semuanya tertera di atas nombor milik Abah.

Panggilan tersebut saya balas. Mama menangis di hujung talian.

Sebagai anak lelaki, saya pertahankan air mata jantan dari gugur berderai.

Pening setelah bangkit dari tidur belum hilang. Setelah telefon di letakkan, air mata saya turun berderai-derai tak terkawal.

Dada sesak.

Nafas tersekat-sekat.

Mengetahui yang keadaan Abah kurang stabil. Seperti yang Mama kata, Doktor berikan dos ubat tidur selama dua hari. Semoga keadaan Abah stabil.

...

Buat masa kini, saya yang masih lagi di Jordan, sudah letih bermandikan air mata. Sehari suntuk memikirkan apakah perlu untuk balik ke Malaysia.

Kerana komitmen saya di sini agak banyak.

Berjanji sesama manusia, banyak. banyak.

Peperiksaan akhir semester. Jaulah. Program. Travel.

Petangnya, setelah berkongsi pandangan bersama sahabat-sahabat serumah, di samping Mama yang telah memberikan kata putus untuk saya pulang jika pengajian tidak terganggu, lantas saya nekad.

 Untuk pulang ke Malaysia.

Sehari lagi, untuk terus senyum dalam duka, di bumi Jordan ini. Di hadapan sahabat-sahabat, sebolehnya saya sembunyikan rasa duka. Mungkin juga perlu di Malaysia nanti, untuk terus senyum dalam duka.

Dan malam ini, masih lagi takut untuk menanti hari esok.

Tetapi, kepala saya sudah terlalu letih untuk berfikir. Konsentrasi tiada lagi.

Yang ada hanya air mata, yang sekali dua, gugur sendiri tanpa di seru.

Ya, ujian ini untuk semua.

Saya berdoa, agar ujian ini sementara. Sekejap sahaja.

Saya berdoa agar Abah segera sihat seperti sediakala.

Untuk saya berkongsi rasa gembira, bilamana tak kurang setahun lagi untuk graduasi.

Untuk saya rebut peluang ke Syurga, bilamana saya dapat membalas jasanya nanti.

Untuk saya rebut redha Allah, bilamana saya dapat berbakti kepada keduanya.

Untuk saya rebut kesempatan bermanja dengan mereka, setelah bertahun berkelana.

Ya Allah. Perkenankanlah.

Dan saat ini, air mata masih lagi mengalir deras. Ikhlas, saya mencintai keduanya setelah Allah & Rasulnya.

Semoga Abah kembali di berikan kesihatan. Sayang Abah. Sayang Mama!

[ ... Dan engkau tidak mengetahui apa yang akan engkau kerjakan esok ... ] {34 : Luqman}

Ep 02 - Kenapa Musafeer Dunia?

Aku belajar untuk suka menulis. Tetapi aku zero dengan idea. Jadi, untuk blog kedua setelah kejatuhan bicaraqalam.blogspot.com yang memang menarik ramai pembaca, aku terfikir untuk berkongsi salah satu minat aku, iaitu MENGEMBARA.

Orang kampung aku panggil 'traveller'.

Budget traveller. Jadi, aku terfikir untuk berkongsi sesuatu dengan manusia.

Pada asalnya, blog ini aku adakan dengan tujuan untuk melatih bakat menulis, tidak kiralah tentang apa. Walaupun major aku adalah pada pengajian agama, tetapi untuk setakat ini, aku senang untuk bermula dengan berkongsi tentang 'travel'.

Maka, impian kedua adalah untuk berlatih berkongsi perihal agama di sini.

It's not about Ustaz so-called. 

Itu impiannya. Insya-Allah.

Jadi, sebagai pengenalan, blog ini di berikan nama Musafeer Dunia.

Senang faham. [Musafir = pengembara]. [Dunia = tempat kembara]. Dan jangan lupa, di sebalik itu, ada juga maksud tersirat, iaitu, penghujung destinasi setelah kembara, ialah Akhirat.

Ok, selit sikit tentang akhirat, supaya kita semua nampak, bahawa, kita sedang mengembara di alam kehidupan, menuju destinasi terakhir iaitu akhirat.

Baik amalan, masuk syurga. Buruk amalan, masuk neraka. Itu sifirnya. Tapi, sebenar-benarnya, kita masuk syurga dengan redha & rahmat Allah.


Bukan dengan amalan, sebab amalan kita semasa hidup sangatlah tidak seberapa.

Ok. Selesai.

Jadi untuk permulaan, berkesinambungan dengan entri seterusnya, ia akan berputar-putar di sekitar Jordan dan tanah sekelilingnya. Ini adalah kerana, tempat aku bersarang sekarang adalah bumi Jordan.

The Hashimate Kingdom Of Jordan.

Cukup setakat ini dahulu.

Ep 01 - Langkah Musafeer Bermula Di Sini

Sudah 'berkurun' berhenti menulis.


Tiba-tiba, 1 Disember 2011 hari ini, terasa macam di berikan kekuatan untuk menulis balik. Berhenti dulu pun, sebab malas. Terasa macam menulis tak berfaedah [masa itulah].


Tapi sekarang, rasa macam patut untuk menulis, untuk berkongsi rasa, demi menyebar cinta. "


Hah! bab-bab cinta inilah yang manusia suka. Aku pun suka. Terkadang, hidup kosong tanpa berkongsi rasa.


Akan aku kongsikan apa yang perlu untuk di kongsikan. Insya-Allah.


Untuk blog kedua ini, ia akan di isikan dengan entri-entri formal + tidak formal. Biar pelbagai. 


Semoga setiap entri yang akan di isi bermanfaat. Bak kata sesetengah orang, 'semoga bernilai ibadah'.


Amin.